Wednesday 10 August 2011

Pelajar Malaysia Cedera Dalam Rusuhan


 Asyraf
[HM] KUALA LUMPUR: “Anak saya bukan saja dipukul hingga patah gigi dan rahang, tetapi dia disamun sekumpulan lelaki sebaik melalui satu kawasan rusuhan di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia di Universiti Kaplan, London, Asyraf Haziq, 20.

Rossli berkata, dia dihubungi Mara dari bahagian pelajar luar negara pagi semalam, memberitahu mengenai kejadian menimpa anaknya itu.

Menurutnya, daripada maklumat yang diperoleh, anaknya serta seorang kawan Mohd Fariz ketika itu dalam perjalanan untuk berbuka puasa di rumah pelajar senior mereka.

Rossli yang bekerja sebagai Pengurus Eksekutif Bangunan berkata, dia terkejut dengan berita itu kerana beberapa jam sebelum kejadian, Asyraf ada menghubunginya untuk bertanyakan khabar ibu serta keluarga lain.

“Rasa macam tak percaya kerana dia baru saja telefon kira-kira jam 11 malam semalam (kelmarin), tiba-tiba pagi tadi (semalam) kira-kira jam 9 pagi, kami dikejutkan dengan berita yang menimpa Asyraf.

“Saya ada juga menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui mengenai keadaan rusuhan di sana, namun dimaklumkan tiada rakyat atau pelajar Malaysia yang terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, video bagaimana Asyraf dipukul dan disamun tersebar dalam YouTube di Internet. Namun, dia bersyukur anaknya itu selamat dan kini dirawat di hospital.

“Kami juga difahamkan, Asyraf akan dibedah esok (hari ini) untuk merawat rahangnya yang patah. Saya sekeluarga begitu bimbang dan bersedih dengan apa yang menimpa anak, tambahan dia baru saja sebulan di sana melanjutkan pelajaran.

“Jika ada peluang saya dan isteri akan ke London untuk melihat keadaannya, tapi ia bergantung pada perkembangan rusuhan di sana. Tak sangka perkara ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi menjelang Syawal ini, Asyraf tidak dapat pulang kerana baru saja di sana,” katanya.

Menurutnya lagi, jika perlu dia meminta Mara membawa pulang anaknya kerana dalam keadaan sekarang, Asyraf mungkin terpaksa menangguhkan pelajaran.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Asyraf tidak kritikal dan hanya cedera di bahagian rahang dan kini dirawat di Royal London Hospital.

“Pelajar itu tidak terbabit dalam rusuhan, tetapi dia diserang sekumpulan perusuh ketika keluar dari tren bawah tanah ketika dalam perjalanan menziarahi rakannya untuk berbuka puasa di utara London,” katanya pada majlis berbuka puasa di Institut Kemajuan Desa.

Wednesday 3 August 2011

Fadhilat & Kelebihan Solat Tarawih

(Senghaja aku sembahyang sunnat tarawih dua rakaat [aku ma’amum] kerana Allah Taala)


Sayidina Ali Abi Talib ra. meriwayatkan sebuah Hadis (yang panjang) daripada Raulullah s.a.w, iaitu jawapan baginda
ketika ditanya oleh para sahabat mengenai fadhilat dan kelebihan solat Tarawih pada setiap malam di bulan Ramadhan.
Baginda bersabda bahawa:

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

Selain daripada fadhilat-fadlulat yang tersebut di atas, terdapat banyak dan berbagai lagi fadhilat dan keutamaan solat
Tarawih atau , Qiam. Ramadhan ini bagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

SELAMAT BERPUASA DAN BERTARAWIH

KLIK IKLAN